Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, sedang memantau beberapa pemain penyerang untuk dipanggil mengantikan Zaquan Adha Abdul Radzak yang mengalami kecederaan bagi menghadapi Fiji dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, 5 Julai ini.

Difahamkan, penyerang Kelantan, Shafiq Shahrudin, adalah antara pemain yang kini dalam pemantauan.

Kriteria utama pemilihan Cheng Hoe adalah pemain yang beraksi secara kerap dalam saingan Liga Super.

Meskipun bakal menggantikan kelibat Zaquan, penyerang Kuala Lumpur itu kekal dalam perancangan Cheng Hoe untuk Piala Suzuki AFF pada November depan dan berharap dia segera pulih daripada kecederaan tangannya.

"Saya dan barisan kejurulatihan sedang mempertimbangkan dua, tiga pemain untuk menggantikan Zaquan.

"Saya harap Zaquan boleh pulih secepat mungkin. Sudah tentu, selepas perlawanan persahabatan nanti, kami akan keluarkan nama pemain pengganti Zaquan.

"Saya rasa pemain itu kini berada dalam prestasi terbaik, kerap bermain dan berpontensi untuk pasukan negara," katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe turut mahu pemain merakam keputusan positif dalam enam aksi pershabatan antarabangsa untuk menghadapi Piala Suzuki, dari 8 November hingga 15 Disember depan.

Selain mencari kombinasi terbaik, jurulatih itu juga mengharapkan aksi persahabatan berkenaan dapat meningkatkan ranking dunia skuad negara.

"Memang kami mahukan keputusan positif bagi membantu menaikkan keyakinan sebelum menghadapi Piala Suzuki nanti," katanya lagi.