Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, memberikan masa buat Syafiq Ahmad bagi menenangkan dirinya selepas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengalami kemalangan ngeri yang mengorbankan bayi lelakinya kelmarin.

Cheng Hoe antara individu yang berada di samping Syafiq ketika anak jati Pualu Pinang itu berdepan saat paling sukar dalam hidupnya.

Melihat sendiri keadaan Syafiq, rasa sebak pengendali itu tidak dapat dibendung apatah lagi kesukaran itu perlu dilalui anak buahnya pada usia yang masih muda.

Cuba menyelami kesakitan yang dihadapi Syafiq, Cheng Hoe menjelaskan bahawa dia tidak mahu terburu-buru menagih kudrat pemain berusia 25 tahun itu walaupun tugasan bersama skuad negara akan bermula Mac depan.

"Pasukan kebangsaan juga tidak akan terburu-buru memanggil Syafiq dan kami memberikan masa secukupnya untuk dia pulih, bukan sahaja daripada segi bola sepak tetapi yang lebih penting adalah kehidupan sehariannya," katanya kepada Nadi Arena.

"Kami sedang berbincang dengan Syafiq dan menghormati setiap keputusannya.

"Pasukan kebangsaan sentiasa membuka pintu untuknya seandainya dia sudah bersedia untuk kembali kepada kariernya dan pasukan kebangsaan," katanya.

Cheng Hoe, dalam pada itu, turut berasa lega apabila saingan Piala Suzuki AFF ditangguhkan ke hujung tahun depan.

Ia kerana kejohanan serantau itu sebelum ini dijadualkan untuk mengambil tempat pada April depan, sekali gus menyukarkan pemain yang beragama Islam untuk menumpukan ibadah puasa pada bulan Ramadhan ketika itu.

"Saya rasa bulan April dan Mei bukanlah tarikh yang sesuai untuk Piala Suzuki AFF kerana waktu itu adalah bulan Ramadhan dan bukan senang untuk pemain menyesuaikan diri dengan situasi itu.

"Kami harap dengan penangguhan kejohanan ini ke Disember depan, ia dapat memberikan ruang dan masa buat pemain mempersiapkan diri," tambahnya.