Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, inginkan kapten pasukan yang mempunyai tahap motivasi terbaik dalam mempengaruhi barisan pemain bagi mengharungi aksi persahabatan antarabangsa kelas A berdepan Fiji di Cheras, esok.

Dalam sidang media hari ini, Cheng Hoe berkata beliau masih belum memutuskan siapa yang bakal menggalas tanggungjawab untuk memimpin pasukan di atas padang.

Namun, beliau ingin melihat seorang kapten yang mampu membawa aura positif dalam pasukan selain dapat menyuntik motivasi terbaik untuk mempengaruhi pemain lain.

Perwatakan sedemikian amat penting dan jurulatih itu tidak menolak beberapa pemain mempunyai karakter sebegitu untuk diputuskan sebelum sepak mula.

"Kami mahu pemain-pemain bermain sebagai satu pasukan. Kami dalam barisan kejurulatihan belum memutuskan siapa yang akan menjadi kapten tetapi kami mahukan kapten yang mempunyai karakter yang boleh memberi motivasi kepada pasukan.

"Apa yang penting, dia boleh membuat arahan dalam perlawanan," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Fiji, Christophe Gamel, menganggap skuad Harimau Malaya adalah satu pasukan yang kuat berdasarkan penilaian terhadap beberapa aksi melibatkan Malaysia.

Namun, mereka juga ada kekuatan tertentu yang pastinya bakal memberi kejutan.

"Kami mahu bersaing dengan apa cara sekalipun kerana kami negara kerdil. Sudah tentu ini adalah perlawanan yang menarik dan tekanan ada di sana kepada pemain," katanya.