"Misi saya bersama Harimau Malaya belum selesai", demikian harapan besar pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, yang masih ternanti-nanti nasibnya selepas kontraknya berakhir 31 Disember lalu.

Cheng Hoe hadir ke Wisma FAM buat pertama kali sejak berakhirnya kempen Piala Suzuki AFF hari ini bagi membincangkan masa depannya bersama skuad kebangsaan.

Dia dijangka mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Jauh di sudut hatinya, Cheng Hoe mengakui belum puas membimbing skuad negara walaupun berjaya melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI), iaitu layak ke final Piala AFF.

"Saya hadir melaporkan diri di Wisma FAM dan mahu membincangkan kontrak saya bersama Harimau Malaya," kata Cheng Hoe.

"Buat masa ini, saya masih mahu meneruskan melatih skuad negara dan berharap peningkatan dapat dipamerkan selepas ini."

Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menjelaskan nasib Cheng Hoe akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang bakal diadakan awal bulan ini.

Kejayaan Harimau Malaya layak ke final Piala AFF dianggap satu pencapaian cemerlang kebanyakan peminat selepas kehambaran prestasi ketika di bawah kendalian Nelo Vingada.

"Layak ke final Piala AFF adalah pencapaian terbaik saya dan selain itu saya serahkan kepada pihak pengurusan FAM," ujarnya.