Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menyifatkan perlawanan menentang Nepal esok sebagai penting untuk aksi pemanas badan sebelum menghadapi Timor Leste dalam pertemuan play-off kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar.

Menurut jurulatih kebangsaan itu, Harimau Malaya perlu memburu kemenangan sebagai tonik untuk menghadapi Timor Leste, Jumaat depan.

Nepal hadir dengan reputasi lebih baik apabila menduduki tangga ke-151 dunia berbanding Malaysia, 168.

Begitupun, Cheng Hoe menganggap dia masih dalam fasa membentuk pasukan sambil menyatakan belum ada bayangan terhadap aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

"Pemain Malaysia memberi fokus kepada aksi esok dan play-off kelayakan Piala Dunia.

"Bagi perlawanan esok, saya masih mencari kombinasi terbaik untuk diketengahkan dalam aksi play-off kelayakan Piala Dunia kelak.

"Kami masih mempunyai tempoh sehari lagi untuk membuat persiapan dan saya masih mengenal pasti gandingan terbaik untuk aksi esok," kata Cheng Hoe dalam sidang media pra-perlawanan, sebentar tadi.

Jurulatih Nepal, Johan Kalin, juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menguji barisan pemainnya dengan berkata: "Kami gembira berpeluang beraksi di sini.

"Pasukan ini masih baru dibentuk, iaitu kira-kira Mac lalu, dan kami telah mengharungi dua perlawanan di bawah bimbingan saya.

"Ada beberapa muka baru dalam skuad ini dan saya berharap kami dapat beraksi dengan baik."