Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menganggap kebangkitan anak buahnya menumbangkan Indonesia di hadapan ribuan penyokong fanatik tuan rumah itu sebagai kejayaan luar biasa untuk permulaan sempurna kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Skuad negara melakar kejayaan bersejarah apabila menumpaskan Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno untuk menamatkan kemarau kemenangan di gelanggang keramat itu selepas kali terakhir melakukannya pada 2004.

Namun, kejayaan itu tidak hadir dengan mudah apabila anak buah Cheng Hoe terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum merakam kemenangan 3-2 dalam perlawanan yang dicemari insiden keganasan penyokong tuan rumah.

“Sebelum bertandang ke sini, saya sudah mengingatkan pemain agar hanya fokus kepada perlawanan dan tidak memikirkan apa yang akan berlaku di padang. Soal keselamatan kami serahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya,” katanya.

Pemain sayap negara, Mohamadou Sumareh, muncul wira selepas menghasilkan gol kemenangan Harimau Malaya pada lewat permainan selepas turut menjadi pencetus kebangkitan pasukannya selepas menggantikan Hadin Azman dalam babak pertama.

“Apabila saya masuk, segalanya tepat pada masanya. Seperti saya katakan, ia adalah hasil kerjasama dalam pasukan. Saya menjaringkan dua gol, termasuk jaringan kemenangan, tetapi ia datang daripada kerja sepasukan. Ia bukan saya tetapi kami menang bersama,” ujar Sumareh