Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengakui masih banyak perkara perlu diperbaiki pasukannya, terutama jentera serangan, walaupun menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Kemenangan ke atas pasukan yang berada di ranking ke-161 itu sememangnya mampu menjadi motivasi buat Malaysia menjelang aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia Qatar 2020 dan Kelayakan Piala Asia 2023.

Namun, bekas ketua jurulatih Kedah itu tidak dapat menyembunyikan kegusaran terhadap jentera serangan selepas mensia-siakan beberapa peluang terhidang di depan gawang lawan.

Walaupun barisan depan diperkuatkan oleh Norshahrul Idlan Talaha dan Syafiq Ahmad sambil menerima sokongan daripada tengah oleh Safawi Rasid, Syazwan Zainon, Halim Saari dan Akram Mahinan, skuad negara jelas gagal mencatat kemenangan lebih besar.

"Kami kehilangan rentak selepas melakukan pertukaran dan bahagian serangan antara yang perlu diberi perhatian," katanya.

"Secara keseluruhan, kami bermain baik tetapi tidak konsisten. Kami perlu tingkatkan prestasi di bahagian serangan."