“Sukar bermain dengan baik apabila beraksi di atas padang tiruan. Kelebihan tetap berpihak kepada tuan rumah (Felda United) tetapi pemain saya akan turun dengan semangat Lang Merah (penuh keberanian)."

Demikian ulasan ringkas ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, menjelang pertembungan menarik perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Sabtu ini.

Selain mempunyai kelebihan beraksi di atas padang tiruan, Cheng Hoe juga menyifatkan Felda United yang dibimbing Azmi Mohamed memiliki barisan penyerang berkualiti yang diketuai Francis Forkey Doe dan Norshahrul Idhan Talaha.

“Biarpun mereka (Felda United) tewas 1-3 kepada JDT, Jumaat lalu, tetapi secara keseluruhannya pemain mereka beraksi dengan baik. Jentera serangan yang diketuai oleh Forkey Doe dan Mat Yo cukup menjadi dan perlu diberi perhatian utama oleh benteng pertahanan Kedah.

“Jangan lupa, Felda juga memiliki pemain lincah seperti Hadin Azman, Zah Rahan dan Gaston yang mampu mengancam kubu kedah. Namun, saya yakin kami mampu menanganinya untuk cuba mencipta kejutan di gelanggang lawan,” katanya.

Cheng Hoe juga lega kerana barisan pemainnya tidak mengalami sebarang masalah kecederaan dan bersedia sepenuhnya untuk diturunkan.

“Ya…berita gembira kerana pemain utama tidak mengalami sebarang masalah kecederaan dan kami akan bersedia sepenuhnya,” katanya.

Kedah memulakan saingan musim ini dengan nota gemilang apabila merangkul Piala Sumbangsih dengan mengalahkan JDT di gelanggang lawan melalui sepakan penalti 5-4, sekaligus muncul antara pasukan pilihan menjulang kejuaraan Liga Super.

Skuad Lang Merah juga menunjukkan kebangkitan menakjubkan apabila menumpaskan Sarawak 3-2 di Stadium Darulaman minggu lepas biarpun hampir berada di ambang kekalahan.