Chelsea akan membuat pemeriksaan akhir mengenai kecergasan N'Golo Kante dan Kai Havertz menjelang perlawanan getir menentang Aston Villa.

Memasuki hari terakhir musim Liga Perdana Inggeris (EPL) esok, The Blues satu mata di depan Liverpool dan Leicester City bagi merebut dua baki slot ke Liga Juara-Juara (UCL).

Begitupun, nasib Chelsea ada di tangan mereka sendiri dalam kunjungan ke Villa.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, mengesahkan pertahanan, Andreas Christensen, akan kembali selepas tercicir tiga perlawanan terakhir akibat kecederaan hamstring.

Kante pula dalam keraguan selepas minta dikeluarkan dalam kemenangan 2-1 ke atas Leicester kelmarin selepas mula mengadu tidak selesa di bahagian hamstring.

Ujian kecergasan juga akan dilakukan ke atas Havertz, apatah mendekati final UCL pada 30 Mei ini yang menjadi faktor yang perlu diambil kira Tuchel.

"Kante semakin pulih dan masih ada harapan kecil dia dapat menyertai sesi latihan kami hujung minggu ini," kata pengurus berbangsa Jerman itu sambil menganggap kehadiran penyokong akan merangsang semangat juang anak buahnya.

"Jika tidak, dia akan kembali pada Isnin.

"Kai telah menjalani ujian semalam dan akan diuji sekali lagi dalam sesi latihan pasukan pada esok (hari ini).

"Andreas Christensen akan menyertai skuad. Dia telah menjalani latihan penuh sejak dua hari lalu tanpa sebarang masalah. Oleh itu, dia akan kembali."





Bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG) itu sedar anak buahnya seronok selepas bangkit daripada kekecewaan dalam final Piala FA hujung minggu dengan membalas dendam ke atas lawan yang sama, Leicester, dalam liga beberapa hari kemudian menjelang dua perlawanan yang lebih penting.

"Adalah menarik dan bagus jika kami dapat memperjuangkan sesuatu," katanya lagi.

"Ia mampu memacu anda dan mencetuskan aksi terbaik anda. Kami berasakannya di Wembley dan pertengahan minggu ini.

"Kami perlu menang untuk mengekalkan matlamat kami dan menetapkan tahap keamatan dan tenaga tertentu, ia sangat istimewa.

"Bukan selalu kami mengharungi 60 perlawanan semusim. Apabila perlawanan ini tiba, ia akan menjadi sangat istimewa dan ia menawarkan sejumlah kegembiraan yang tidak dapat anda temukan di tempat lain."

Villa tewas 10 daripada 12 pertemuan terakhir kepada Chelsea dalam EPL di sebalik seri di Stamford Bridge musim ini.