Olivier Giroud menegaskan Chelsea tidak mengalami krisis selepas tewas buat kali keempat dalam lima aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Chelsea tewas 1-0 kepada pendahulu liga, Manchester City, di Stadium Etihad sebagai menambah kekalahan daripada aksi bertemu Bournemouth, Watford dan Manchester United dalam tempoh empat setengah minggu.

The Blues kini semakin jauh daripada kelompok empat pasukan terbaik liga, lima mata di belakang Tottenham (penghuni tangga keempat).

Aksi Chelsea yang kurang sengat berdepan City dihimpit dengan kritikan tetapi Giroud menafikan cadangan bahawa kelab itu sedang mengalami krisis.

"Kami bermain dengan United dan City di tempat lawan. Kami boleh melakukan lebih baik tetapi ini bukan perlawanan yang kecil.

"Kami tidak gembira dengan keadaan ini. Buat masa ini, kami terus mempercayai pengendali pasukan dan bersatu untuk menghadapi aksi seterusnya," ujarnya.

Giroud dan Alvaro Morata berada di bangku simpanan ketika Conte menggunakan formasi berbeza dengan meletakkan Eden Hazard selaku penyerang tetapi Chelsea gagal untuk menghasilkan sebarang percubaan tepat ke pintu gol lawan.

"Jurulatih telah mencuba taktikal yang berbeza dan kami menghormatinya. Tetapi kami gagal menghasilkan peluang. City telah bermain dengan baik, mereka berhak meraih kemenangan ini."