Hasrat Harry Kane yang dilaporkan mahu meninggalkan Tottenham mencetuskan perlumbaan untuk memburu khidmatnya.

Kegagalan memenangi kejuaraan mendorong penggempur itu untuk angkat kaki dengan Manchester City, Manchester United dan Chelsea disebut-sebut mengidamkan sentuhannya.

Dalam situasi COVID-19 hingga teruk menjejaskan kewangan masing-masing, beberapa kelab semakin kreatif dalam urusan perpindahan.


Chelsea dilaporkan sedia membuat pertukaran pemain termasuk menawarkan wang bagi mendapatkan Kane daripada Tottenham -- melibatkan penjaga gawang Kepa Arrizabalaga dan penyerang, Tammy Abraham, menurut ESPN.

Penjaga Spurs, Hugo Lloris, dijangka akan meninggalkan kelab itu, lantas Kepa mampu menjadi daya tarikan sementara Abraham, yang bukan pilihan utama The Blues, boleh membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh ketua pasukan England tersebut.

Kane memiliki kontrak selama tiga musim lagi di Tottenham -- harganya mencecah £150 juta (RM878.9j) -- jadi tawaran pemain mampu menurunkan jumlah pampasan itu ke tahap yang lebih berpatutan.

Dalam masa sama, The Guardian melaporkan Sergio Aguero telah mencapai kesepakatan selama dua tahun dengan Barcelona selepas masa depannya di Manchester City sudah disahkan.



Menurut The Times pula, ketua pasukan juara EPL musim itu, Fernandinho, yang disebut-sebut akan berhijrah akan memperbaharui kontrak dengan kelab itu selama setahun lagi.

The Mirror melaporkan satu lagi kelab Inggeris, Wolves, sedang memantau bekas pengurus Roma, Paulo Fonseca, sementara The Sun mengaitkan Tottenham dalam usaha meyakinkan Brendan Rodgers sekiranya Leicester City gagal layak ke kancah Liga Juara-Juara musim depan.