Selepas tragedi berunsur politik yang melanda Chelsea musim lalu, pemilik barunya, Todd Boehly, nampaknya bertekad untuk memulakan musim baru dengan penambahan pemain-pemain mantap.

Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling, menjadi sasaran utama setakat ini.

Menurut laporan akhbar Daily Mail, Sterling yang kontraknya bersama City hanya berbaki setahun sudah pun mengadakan perbincangan dengan pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, tentang peranannya apabila tiba di Stamford Bridge kelak -- menandakan dia bersedia untuk berhijrah.

Bidaan rasmi sekitar £55 juta (RM295 juta) dipercayai bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat dan Chelsea masih berbincang tentang tawaran gaji Sterling sebanyak £300,000 (RM1.6 juta) seminggu ketika ini.

Ketibaan Sterling bakal menjadi penawar terbaik untuk mengukuhkan semula barisan serangan Chelsea, setelah penyerang kontroversi mereka, Romelu Lukaku, disahkan bakal menyertai semula kelab lamanya, Inter Milan, musim depan.

Tuchel percaya bahawa selain kelincahan dan kemahiran Sterling, pengalaman luas dan ciri-ciri sebagai seorang ketua yang dia miliki semestinya menjadi satu aset buat pasukan.

Menurut laporan daripada sumber yang sama, Chelsea turut diserikan dengan satu lagi berita gembira -- kejayaan memintas Arsenal dalam membeli seorang lagi pemain sayap, Raphinha, daripada Leeds United.



Arsenal pada awalnya melakukan bidaan untuk pemain itu dengan harga sekitar £30 juta (RM161 juta), namun ditolak oleh Leeds.

Chelsea pantas mengambil inisiatif untuk turut sama melakukan bidaan, dan dikhabarkan harga yang mereka tawarkan jauh mengatasi bidaan baru Arsenal.

Turut sama membantu dalam memenangi hati Raphinha adalah adalah ejen peribadi pemain itu yang merupakan salah seorang bekas pemain Chelsea, Deco.

Jika segala-galanya berjalan lancar, Raphinha dan Sterling bakal bergandingan dengan Kai Havertz untuk membentuk serangan tiga serangkai yang kelihatan cukup berbisa di atas kertas.

Di bahagian pertahanan pula, setelah terpaksa melepaskan pemain pertahanan utama mereka, Antonio Rudiger, kepada Real Madrid, Chelsea dikhabarkan mensasarkan Mathijs De Ligt dari Juventus, Jules Kounde dari Sevilla, Milan Skriniar dari Inter Milan dan juga Nathan Ake dari Manchester City sebagai calon-calon pengganti.

Satu bidaan yang turut melibatkan Christian Pulisic dan Timo Werner dalam satu pakej telah dilakukan untuk mendapatkan De Ligt pada minggu lalu, namun ia ditolak oleh Juventus.

Perbincangan lanjut bakal diteruskan, namun apa yang pasti, Chelsea kelihatan bertekad untuk terus menambah nama-nama besar dalam skuad mereka.



Berbicara tentang Boehly, beliau dilaporkan telah bersetuju untuk memberikan kuasa penuh kepada Tuchel dalam menentukan pemain manakah yang harus dibawa masuk, tidak seperti musim lalu di mana ada pelbagai individu lain yang harus turut sama memberikan lampu hijau sebelum bidaan rasmi dilakukan.

Disebabkan pendirian Boehly itu, tiga individu yang berpangkat tinggi di Chelsea sebelum ini, iaitu bekas pengerusi, Bruce Buck, bekas pengarah, Marina Granovskaia, dan bekas pengarah teknikal, Petr Cech, membuat keputusan untuk meletakkan jawatan.

Segala perkembangan baru ini kelihatan seperti satu nafas baru yang cukup segar buat The Blues, dan kita seharusnya meramalkan kehadiran satu skuad yang lebih kuat daripada musim lalu untuk memberikan cabaran sengit kepada Manchester City dan Liverpool dalam perebutan takhta juara.