WEST HAM 3 CHELSEA 2

Mason Mount menyifatkan "fikiran yang letih, badan yang lesu" sebagai punca Chelsea kecundang 2-3 di West Ham dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Sekalipun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Thiago Silva, hantaran ke belakang yang lemah oleh Jorginho meletakkan Edouard Mendy dalam masalah hingga mendorongnya memberikan sepakan penalti yang kemudian disempurnakan Manuel Lanzini.

Selepas Jarrod Bowen menjadikan kedudukan 2-2 sebelum sejam usia permainan, penjaga gawang itu sekali lagi melakukan kesilapan apabila membenarkan hantaran lintang Arthur Masuaku melintasi garisan golnya.

Mount, yang menjaringkan gol menerusi voli hebat untuk menjadikan kedudukan 2-1 buat The Blues sejurus sebelum rehat, menjelaskan Chelsea sudah mengharungi 23 perlawanan dan keletihan mula menghambat mereka.

"Kami mengalami minggu yang sukar dalam perlawanan pertengahan minggu lalu (menewaskan Watford 2-1) dan kami meraih tiga mata yang mungkin tidak sepatutnya kami perolehi,” katanya kepada BBC.

"Kami melakukan kesilapan, begitu juga hari ini. Kami melakukan kesilapan yang sudah lama tidak kami lakukan dan kini perlu bangkit.

"Apabila terbabit dalam banyak perlawanan, ia boleh memberi kesan besar tetapi itu bukanlah alasan yang boleh kami gunakan -– kami turun di sini dan mahu menang, ia adalah perlawanan 'derby'. Kami jarang bolos banyak, jadi itu adalah sesuatu yang perlu kami lihat."

Dia gusar kesilapan baru-baru ini itu akan berlarutan apabila menambah: "Fikiran kami letih, badan pula lesu tetapi kami perlu kekalkan tahap yang tinggi. Kami akan bersatu dan bangkit dalam perlawanan seterusnya."





Pengurus The Blues, Thomas Tuchel, sebaliknya menyalahkan kesilapan individu sambil berasakan persembahan anak buahnya masih cukup baik untuk memungut mata penuh.

“Saya tidak fikir kami mempamerkan satu persembahan yang buruk, kami sepatutnya masih boleh menang dengan aksi sebegini,” kata Tuchel kepada BT Sport.