CHELSEA 3 MALMO 0
(Chelsea mara dengan agregat 5-1)

Maurizio Sarri menafikan telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan Roma mengenai perpindahannya dari Stamford Bridge ke Stadio Olimpico.


Satu laporan membabitkan bekas pengurus Napoli itu mendakwa beliau telah bertemu dengan Presiden Roma, James Pallotta, dan penasihat kelab, Franco Baldini, baru-baru ini untuk bercakap tentang penggantian Eusebio Di Francesco.

Masa depan Sarri di London dipersoalkan berikutan keputusan hambar sementara kelibat rakan sejawatan, Di Francesco, sedang diawasi berikutan kempen Giallorossi yang suram.

Namun, pengurus berusia 60 tahun itu menyatakan hasratnya terus mengemudi The Blues "untuk jangka masa yang panjang" dan bercakap selepas meraih kemenangan di Malmo, Sarri menafikan dia akan kembali ke Serie A.

"Sudah tentu tidak," katanya kepada BT Sport. "Ini kerana saya masih mempunyai kontrak dengan Chelsea musim depan, jadi tidak mungkin saya dihubungi (Roma).

"Saya terbaca suatu laporan dalam akhbar Itali yang mengaitkan saya makan malam dengan Franco Baldini sedangkan ketika itu Franco berada di Afrika Selatan, jadi sangat sukar untuk makan malam bersamanya."

Chelsea kembali memenangi perlawanan selepas meraih kemenangan 3-0 di tempat sendiri awal pagi tadi untuk melepasi pusingan 32 Liga Europa.

Olivier Giroud, Ross Barkley dan Callum Hudson-Odoi masing-masing mencetak nama selaku penjaring di sebalik permulaan lembap dalam separuh masa pertama yang mencetuskan keresahan peminat susulan kekalahan yang mengecewakan dalam Piala FA kepada Manchester United, kelmarin.

Sarri memberi amaran bahawa permulaan seperti itu akan mengakibatkan kekalahan di tangan Manchester City dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL), Ahad ini.

"Ia akan menjadi satu bencana," katanya ketika meramalkan perlawanan akan datang dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya mempunyai kebimbangan tentang 30 minit pertama (melawan Malmo), iaitu di bahagian serangan. Kami tidak dapat memperagakan aksi sebenar kami tanpa keyakinan tetapi pendekatan kami adalah baik.

"Kami berada dalam tempoh yang sukar, kami mencetuskan masalah dengan peminat dalam perlawanan terakhir. Oleh itu, beraksi tanpa keyakinan dalam perlawanan seperti ini adalah normal.

"Untuk beraksi, kami memerlukan keyakinan. Jika kami mahu menguasai permainan, kami harus memiliki bola, bergerak dengan pantas dan keyakinan."