Chelsea dan Leicester City masing-masing didenda sebanyak £22,500 (RM131,422) oleh Persatuan Bolasepak England (FA) gara-gara pergaduhan di antara pemain kedua-dua pasukan itu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan lalu.

Terjahan yang dilakukan Ricardo Pereira ke atas bekas rakan sepasukannya, Ben Chilwell, pada lewat permainan itu mencetus pergaduhan yang turut melibatkan beberapa pegawai pasukan.

Tiga pemain Leicester -- Pereira, Nampalys Mendy dan pemain gantian, Daniel Amartey -- dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Mike Dean, kerana penglibatan mereka dalam insiden itu.

Chelsea menang 2-1 dalam perlawanan pada 18 Mei itu, tiga hari selepas tewas kepada lawan sama dalam final Piala FA.

FA pada bulan lalu mendakwa Chelsea dan Leicester atas kesalahan gagal mengawal tingkah laku pemain dan kedua-dua pasukan itu menerima hukuman berkenaan.

FA berkata dalam satu kenyataan: "Chelsea FC dan Leicester City FC telah didenda sebanyak £22,500 setiap satu selepas mengakui melanggar undang-undang E20.1 dalam perlawanan EPL pada Selasa, 18 Mei 2021.

"Kedua-dua kelab itu mengakui mereka gagal memastikan pemain dan pegawai mereka mengawal diri dengan sebaiknya dan mengelak daripada sebarang bentuk kelakuan provokasi pada minit ke-93 perlawanan itu."

Kemenangan dalam perlawanan kedua terakhir itu terbukti benar-benar penting buat Chelsea apabila mereka menamatkan musim di tangga keempat dengan berkelebihan satu anak tangga dan satu mata di depan Leicester.