Thomas Tuchel barangkali tidak cukup berani untuk meminta Callum Hudson-Odoi sebagai bertindak pertahanan sayap untuk Chelsea sekiranya ia bukan tugasan pertama.

Pemain antarabangsa England itu sering dipertaruhkan untuk menjana serangan di bawah pimpinan Frank Lampard sebelum pelantikan Tuchel di Stamford Bridge.

Dia mempamerkan aksi penuh semangat dan kreatif di sayap kanan ketika The Blues buntu 0-0 dengan Wolves minggu lalu sebelum mengekalkan peranannya untuk kemenangan 2-0 ke atas Burnley.

Menjelang 'derby London' menentang Tottenham, awal pagi esok, Tuchel mengakui tidak sedar bahawa dia telah meminta Hudson-Odoi beraksi di luar posisi sebenarnya.

"Tidak, mungkin ia tindakan yang tepat saya tidak bertanya (sama ada dia pernah beraksi sebagai pertahanan sayap) kerana jika tidak, saya pasti meragui keputusan sendiri," katanya.

"Seperti yang anda ketahui, kami hanya sempat menjalani satu sesi latihan sebelum bertemu Wolves. Kami terbang pada hari yang sama dengan semua kakitangan sambil tertanya-tanya apakah struktur yang boleh dilaksanakan selain mahu memberikan perasaan yang baik kepada pasukan untuk lebih kental bertahan dan memberikan mereka kebebasan ketika menyerang.

"Untuk bertahan dengan empat pemain perlu sangat berdisiplin dan diselaraskan. Jadi, kami memilih untuk mengetengahkan lima tonggak tetapi kami tidak mahu terlalu bertahan jadi sebab itu dalam latihan, saya cuba meletakkan Reece James dan Callum di sebelah kanan dan dia melakukannya dengan baik.



"Dengan segala kualiti yang dimilikinya, kepantasan dan lekas bertahan, dia mampu menawarkan kami kederasan larian, gelecekan dan kemampuan satu lawan satu,.

"Dia mengambil kesempatan itu dalam perlawanan pertama saya, jadi saya tidak perlu mengubahnya dalam perlawanan kedua. Mungkin dalam beberapa insiden perebutan bola di udara masih ada beberapa ruang untuk diperbaiki, tetapi saya gembira."

Pengurus kelahiran Jerman itu juga meminta anak buahnya agar bersikap fleksibel dan sedia mengubah posisi, sebagaimana Tuchel menukar peranan Marquinhos sebagai bek tengah menjadi tonggak tengah yang menonjol di Paris Saint-Germain (PSG).

"Saya hanya akan melakukannya sekiranya saya menghidu sesuatu dalam seseorang pemain itu dan demi membawa manfaat kepada pasukan. Callum ada kelebihan besar.

"Sekiranya saya melihat sesuatu untuk merombak posisi pemain, saya akan berusaha meyakinkan mereka tetapi bukanlah bertentangan dengan kehendak mereka.

"Kami menunjukkan kepada mereka gambar dan menjelaskan kepada mereka termasuk mendengar pendapat mereka demi keselesaan mereka."

Tuchel turut memuji produk akademi, Mason Mount, yang cukup mengambil berat dengan prestasi kelab London itu.

"Sekiranya anda berlatih atau beraksi di samping Mason, satu perkara yang anda boleh yakin ialah dia akan berikan persembahan 100 peratus.

"Ini adalah pendekatan terbaik untuknya berkembang menjadi pemain handalan."