Romelu Lukaku dan Timo Werner tidak akan mewakili Chelsea sebelum waktu rehat antarabangsa bulan depan, demikian didedahkan Thomas Tuchel menjelang kunjungan ke laman Newcastle United malam ini.

Lukaku dan Werner tidak pernah mewakili The Blues sejak kemenangan 4-0 ke atas Malmo dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 20 Oktober lalu, masing-masing disebabkan kecederaan buku lali dan paha.

Kedua-dua pemain itu telahpun terlepas pertemuan dan Norwich City dan Southampton, di mana Chelsea menang kedua-duanya -- walaupun memerlukan penentuan penalti untuk menewaskan The Saints dalam Piala EFL.

Dan Tuchel sekali lagi tidak dapat menurunkan gandingan penyerang itu untuk berdepan Newcastle selain dijangka akan menghadapi situasi sama dalam pertemuan menentang Malmo dan Burnley bulan depan.

Lukaku dan Werner kini meletakkan sasaran untuk cergas sepenuhnya pada pertengahan bulan depan, di mana Chelsea akan berdepan Leicester City, Juventus dan Manchester United selepas tempoh itu.

"Timo dan Romelu masih tidak dapat diturunkan kerana kecederaan,"kata Tuchel dalam sidang media sebelum perlawanan itu.

"Christian Pulisic sudah menyertai dua sesi latihan terakhir tetapi masih terlalu awal, dia memerlukan masa."

Tuchel menambah: "Saya bukanlah seorang yang gemar memberikan tarikh dan meletakkan tekanan kepada jangkaan itu tetapi saya boleh memberitahu anda dengan realistik bahawa kedua-dua mereka, Timo dan Romelu, ada sasaran baru dan sasarannya adalah selepas waktu rehat antarabangsa. Itulah yang kami dan mereka sasarkan.

"Mengenai Christian Pulisic, kami akan mencuba dalam perlawanan menentang Burnley."

Tuchel, dalam pada itu, memberikan perkembangan positif mengenai masalah kecederaan pasukannya, walaupun kemudian mendedahkan mengenai kecederaan paha yang dialami Mateo Kovacic dalam sesi latihan dan dilihat akan direhatkan selama hampir sebulan.

"Kesemua pemain lain dapat diturunkan. Azpi (Cesar Azpilicueta) sudah kembali ke padang, Ruben (Loftus-Cheek) sudah kembali ke padang, N'G (N'Golo Kante) sudah kembali ke padang. Mereka akan bersama pasukan kami esok (malam ini ) dan bersedia untuk beraksi," tambahnya.