N'Golo Kante menegaskan bahawa Chelsea "akan memburu semua trofi" dan masih bernafsu terhadap kejayaan selepas memenangi Piala Dunia Kelab.

The Blues mengatasi Palmeiras 2-1 untuk memenangi kejohanan itu buat kali pertama sepanjang sejarah penubuhan mereka selepas memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu.

Chelsea dilihat mampu untuk mencabar pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dan Liverpool dalam perebutan kejohanan domestik itu walaupun ia merupakan tugas yang agak sukar.

Selain itu, mereka juga akan membuat perhitungan dengan Liverpool dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) hujung bulan ini dan pasukan bimbingan Thomas Tuchel itu juga sedang bersaing dalam Piala FA dan UCL.

Dengan trofi pertama musim ini sudah didakap mereka, Kante -- yang turut merupakan pemenang gelaran EPL dua kali dan juara Piala Dunia bersama Perancis -- masih mendahagakan lebih kejayaan.

"Kami sedar masih banyak perlawanan penting yang akan dihadapi dengan final Piala Carabao, kami masih bersaing dalam UCL, kami masih perlu melakukan yang terbaik dalam EPL dan Piala FA juga semakin hampir," katanya kepada wartawan.

"Terlalu banyak perkara baik sedang menanti kami. Kami harap dapat menikmati lebih banyak malam seperti ini.

"Saya tidak tahu apa yang kami boleh capai tetapi apa yang kami mahukan adalah untuk mendapatkan yang terbaik buat pasukan kami supaya kami dapat bersaing merebut segala-galanya. Kami akan memburu semua trofi," katanya.