Pemain tengah Terengganu FC, Thierry Chantha Bin, mengakui semangatnya tetap membara untuk membantu skuad Penyu merangkul gelaran Piala Malaysia walaupun sering tidak diberikan perhatian.

Chanta Bin menjadi watak penting ketika membantu pasukannya menyingkirkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), di peringkat separuh akhir.

Dia mempamer aksi ampuh selaku pemain tengah bertahan, namun kelibat pemain kelahiran Perancis-Kemboja itu masih dibayangi kehebatan dua rakannya, Lee Tuck dan Tchetche Kipre.

Bagaimanapun, Chanta Bin tidak ambil pusing situasi itu kerana baginya kemenangan untuk pasukan adalah lebih penting buat dirinya.

"Ia sesuatu yang sangat istimewa buat saya kerana tidak menjulang begitu banyak trofi di Asia. Saya mahu memilikinya dalam karier.

"Saya juga mahu mengembalikan trofi ini kepada Terengganu kerana kali terakhir mereka menjulangnya ialah pada 2001," katanya.

Dia yang mengidamkan gelaran sulung dalam kancah bola sepak Malaysia dijangka membentuk gandingan bersama Tuck untuk menjana jentera tengah berdepan Perak, Sabtu ini.

"Kami tahu Perak kerana telah berdepan mereka empat kali. Kami menang dua kali dan tewas dalam baki aksi.

"Final adalah sesuatu yang berbeza. Apa sahaja boleh berlaku, jadi kami harus fokus sehingga minit terakhir."