Carlo Ancelotti memberi penghormatan kepada Celtic walaupun kelihatan mudah dengan jaringan kemenangan 3-0 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Berdasarkan keputusan, nampaknya Real mempunyai permulaan yang selesa untuk kempen Liga Juara-Juara, menang di tempat lawan tanpa dibolosi.

Realitinya sangat berbeza, seperti yang diakui oleh Ancelotti. Celtic menghadirkan ancaman di permulaan separuh masa pertama, Liel Abada dan Callum McGregor berusaha menghasilkan jaringan namun gagal menembusi gawang.

Bercakap mengenai perlawanan bertemu Celtic, Ancelotti berkata, "Mereka adalah pasukan yang bagus dan kami bimbang kerana kami tahu apa yang mereka lakukan menentang Rangers. Kami menderita pada separuh masa pertama, tetapi adalah perkara biasa untuk menderita di sini, di mana suasana di stadium ini sangat hebat.

"Saya rasa semua pemain suka bermain dalam suasana seperti ini. Saya gembira kami mengadakan perlawanan bola sepak yang baik untuk peminat."

Vinicius Jr dan Luka Modric menghasilkan dua gol pantas di separuh masa kedua sebelum Eden Hazard melengkapkan kemenangan Real Madrid.

Pemain Terbaik UEFA, Karim Benzema, dipaksa keluar padang kerana mengalami kecederaan dan Ancelotti menafikan penyerang veteran itu akan berehat panjang.

"Kami tidak berasakan Benzema mengalami masalah yang serius. Ia hanya ketegangan otot sahaja.

"Kami perlu menunggu ujian esok. Kemudian kita akan tahu apa yang berlaku kepada Benzema.”