Petr Cech berkata dia tidak bercadang membuat pusingan 'U' daripada persaraannya hujung musim ini selepas membantu Arsenal melangkah ke final Liga Europa (UEL).

Cech berada dalam kesebelasan utama Arsenal selepas menewaskan Valencia 4-2 di Mestalla awal pagi tadi untuk melangkah ke final dengan keputusan 7-3 secara agregat.

Penjaga gol berusia 36 tahun itu mengumumkan akan bersara penghujung musim ini bagi menoktahkan karier yang penuh dengan kejayaan.

Cech memegang rekod tanpa bolos paling banyak dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) di samping telah memenangi empat gelaran EPL, lima Piala FA, Liga Juara-Juara dan UEL.

Pemain kebangsaan Republik Czech itu bakal menamatkan karier sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia dan dia tidak menyesali keputusan untuk bersara.

"Anda memiliki hari-hari bermain dengan baik dan berasakan mampu terus melakukannya tetapi saya telah membuat keputusan selepas berfikir panjang," kata Cech.

"Saya mampu bermain dua tahun lagi tetapi saya memilih untuk bersara awal sebelum terlambat. Saya mahu mengakhiri karier mengikut kehendak saya.

"Impian terakhir adalah bermain dalam final UEL dan ia telah menjadi kenyataan, kini kami mahu memenanginya," tambahnya.

Hatrik Pierre-Emerick Aubameyang memastikan peluang Arsenal kembali beraksi dalam UCL, dengan peluang untuk menamatkan saingan EPL dalam kelompok empat terbaik amat tipis.

Arsenal berada di tangga kelima dan ketinggalan tiga mata kepada penghuni tempat keempat, Tottenham, menjelang aksi terakhir musim ini.

"Dengan pengalaman saya, saya boleh mengimbangi rentak perlawanan dengan persiapan saya.

"Kuncinya adalah cara anda membuat persiapan dan saya sentiasa bersedia turun dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan. Saya sentiasa yakin untuk beraksi.

"Selepas kami meraih jaringan keempat ,saya menyedari kami akan melangkah ke final," katanya lagi.

Bertemu Chelsea merupakan final sempurna buat Cech, yang bakal berdepan bekas kelabnya itu dalam final UEL di Baku, 29 Mei ini.

The Blues memerlukan penentuan sepakan penalti untuk mengatasi Eintracht Frankfurt, dengan Eden Hazard meledak penalti kemenangan.

"Saya tidak kisah bertemu mana-mana lawan dalam final.

"Pasukan yang ke final sentiasa berhak capai ke tahap ini.

"Ia merupakan pengakhiran terbaik dalam karier saya berdepan Chelsea."