Penjaga gol Arsenal, Petr Cech, berasa tertekan untuk beraksi lebih baik ketika pasukannya tewas 1-4 kepada Chelsea dalam final Liga Europa di Stadium Olimpik Baku, awal pagi tadi.

Ia berpunca daripada spekulasi yang mendakwa dirinya akan dilantik sebagai pengarah sukan The Blues selepas bersara.

Pemain dari Republik Czech itu telah beraksi dalam kesemua perlawanan kalah mati buat Arsenal sepanjang tahun ini dan pengurus, Unai Emery, memilih untuk mengekalkan pendekatan itu walaupun terdapat desas-desus mengenai kepulangan Cech ke bekas pasukan yang diwakilinya sebelum berpindah ke Arsenal pada 2015 itu.

Di sebalik kekalahan besar itu, Cech memaparkan deretan aksi menyelamat cemerlang dan mengakui dia berasa tertekan untuk mengekalkan aksi mantap dalam perlawanan terakhirnya itu sebelum bersara sebagai pemain profesional.

"Saya berbangga dengan cara permainan saya," katanya kepada BT Sport.

"Apabila anda beraksi untuk perlawanan terakhir di peringkat final, akan ada tekanan yang tinggi.

"Amat jelas terdapat banyak spekulasi tentang Chelsea.

"Saya perlu beraksi baik.

"Saya perlu katakan yang saya telah melakukan segala-galanya dan boleh melihat ke belakang tanpa sebarang penyesalan," katanya.

Apabila didesak untuk menjawab sama ada dia akan menyertai Chelsea, Cech memberikan respons: "Saya sentiasa katakan kepada semua orang bahawa saya mahu memenangi trofi dahulu sebelum duduk dan memikirkannya.

"Sehingga 30 Jun ini, saya masih pemain Arsenal dan menjelang ke waktu itu, saya tidak akan membuat sebarang keputusan."

Cech percaya walaupun pasukannya tewas, Emery telah membawa pasukan itu ke haluan yang tepat.

"Kami bekerja keras setiap tahun dan pada akhirnya, kami tidak memenangi apa-apa.

"Saya berasakan ia merupakan sesuatu yang pemain kami tidak layak untuk dapat.

"Kami tewas 1-4 dalam final, namun saya boleh memberi jaminan kepada semua penyokong Arsenal bahawa dengan kerja keras yang kami lakukan sepanjang musim ini, ia akan membuahkan hasil musim depan dan pasukan ini akan menjadi jauh lebih kuat," katanya.