Pemain tengah Real Betis, Dani Ceballos, berkata dia akan membuat keputusan mengenai masa depannya sebaik berakhirnya Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun tatkala dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Madrid dikhabarkan berminat mendapatkan khidmat Ceballos. Bagaimanapun, Presiden Betis, Angelo Haro, mendakwa pihaknya masih belum dihubungi kelab gergasi Eropah itu.

Ceballos memainkan peranan besar dalam membawa Sepanyol ke final di Poland dan pemain berusia 20 tahun itu akan bertemu ketua jurulatih Betis, Quique Setien, dalam masa terdekat.

"Saya tahu apa yang akan berlaku selepas berakhirnya Kejohanan Eropah," Ceballos memberitahu Marca.

"Saya akan berbincang dengan Setien kerana dia mahu berbincang dengan saya secara peribadi.

"Ketika itu, saya akan menentukan masa depan saya dan apakah destinasi saya seterusnya."