Santi Cazorla menafikan khabar angin dia mungkin dipaksa bersara ekoran masalah kecederaan, namun mengakui dia masih memerlukan masa panjang untuk kembali ke atas padang.

Oktober tahun lalu merupakan penampilan terakhir Cazorla bersama Arsenal sebelum mengalami kecederaan buku lali, namun proses pemulihannya terganggu dengan beberapa isu lain.

Cazorla memerlukan lapan pembedahan untuk mengatasi isu tersebut, termasuk satu proses pencantuman kulit bagi memulihkan kesan luka yang telah mengalami jangkitan kuman.

Terdapat beberapa laporan mengatakan pemain itu mungkin tidak akan kembali beraksi bersama skuad utama ekoran komplikasi ketika sesi pemulihan, namun dia yakin mampu kembali ke prestasi sebenar.

"Jangan beri tumpuan terhadap khabar angin itu," Cazorla bercakap kepada Onda Cero.

"Mereka yang mahu saya bersara akan melihat saya kembali beraksi. Saya akan kembali. Saya tidak pasti bila tetapi saya yakin akan kembali bermain bola sepak di tahap terbaik.

"Saya yakin mampu kembali."

Tambahnya: "Masalahnya, mereka (doktor) tidak tahu apa yang berlaku. Ketika saya menjalani rawatan di Sepanyol, mereka mendapati ada bakteria dalam tubuh saya tetapi kini masalah itu telah pun diselesaikan.

"Proses pembedahan telah berakhir. Fokus saya kini tertumpu kepada sesi pemulihan yang telah pun bermula dua minggu lalu."