PSG 2 GUINGAMP 2

Edinson Cavani tidak sedar rekod jaringannya bersama Paris Saint-Germain (PSG) telah melepasi bekas rakan sepasukan, Zlatan Ibrahimovic.


Cavani merobek gawang lawan 115 kali dalam kancah Ligue 1 untuk juara Perancis itu mencatat keputusan seri 2-2 berdepan Guingamp.

Sebelum sepak mula, Cavani terikat 113 gol liga dengan Ibrahimovic sebelum dua gol awal pagi tadi itu membantunya melepasi catatan bintang Sweden terbabit dan dia melakukan hal yang sama ketika mengatasi jaringan keseluruhan yang dipegang Ibrahimovic, 157 gol, Januari lalu.

"Saya tidak tahu bahawa saya telah mencipta rekod baru tetapi saya gembira kerana melakar sejarah dengan jersi ini," kata Cavani.

Cavani hadir sebagai penyelamat PSG di Paris selepas ketinggalan 2-0.

PSG meledak dua gol menuju 15 minit terakhir perlawanan apabila Cavani merapatkan jurang menerusi sepakan penalti sebelum penggempur Uruguay itu mengimbangi kedudukan buat anak buah Unai Emery itu, tujuh minit kemudian.

"Tidak, kami tidak bercuti, ini tidak benar," tambah Cavani. "Kadang-kadang ada pertandingan yang sukar.

"Kami memenangi gelaran Ligue 1, namun masih berusaha untuk menumpukan perhatian sebaik mungkin -- ketika ketinggalan 2-0, adalah penting untuk kami berjuang semula untuk setidak-tidaknya meraih keputusan seri.

"Saya masih terikat kontrak dengan PSG, saya sangat seronok di sini. Saya bangga berada di sini dan berharap dapat meneruskan jalan ini yang bermula lima tahun lalu, saya mahu terus menang dengan seragam ini," tambahnya.

Cavani juga memberi penghormatan kepada ketua jurulatih, Emery, yang akan meninggalkan PSG pada akhir musim ini.

"Saya mengucapkan tahniah kepada jurulatih," kata pemain berusia 31 tahun tersebut. "Dia memberikan segala-galanya, setiap hari, semoga dia mengecapi yang terbaik dalam kerjayanya."

Ketua pasukan, Thiago Silva, tampil mempersoalkan tindakan pengurusan PSG berhubung masa depan Emery dengan berkata, "Kami boleh menukar jurulatih, namun kami gagal untuk mara.

"Minggu ini, kelab memutuskan Emery tidak akan bersama kami pada musim depan tetapi sekarang, tanggungjawab itu perlu digalas kami.

"Mungkin kami perlu duduk dan memikirkan tentang bagaimana untuk meningkatkan pasukan ini pada musim depan."