Penyerang Manchester United, Edinson Cavani, akan tersisih selama beberapa minggu selepas kecederaan betis yang dialaminya ketika tugasan antarabangsa di Uruguay.

Perkembangan itu disahkan pengurus sementara kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut, Ralf Rangnick, selepas penggempur berpengalaman itu terpaksa digantikan dalam kemenangan 2-0 ke atas Chile untuk pasukan Amerika Selatan berkenaan mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga kelayakan Piala Dunia selepas melakar empat kemenangan berturut-turut.

Dalam sidang media pra-perlawanan menjelang pertembungan dengan Leicester City tengah malam ini, Rangnick mengesahkan masalah kecederaan anak buahnya itu.

"Sejak perlawanan menentang West Ham pada 22 Januari lalu, kami telah kehilangan tiga penyerang," katanya.

"Anthony Martial, Mason Greenwood dan juga Edinson Cavani yang kembali tercedera. Malangnya dia perlu berehat untuk beberapa minggu akan datang."

Cavani hanya menyumbat dua gol selepas beraksi selama 614 minit sepanjang musim ini.