Edinson Cavani mendedahkan dia telah berjaya mengetepikan perbalahan dengan rakan sepasukan Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, serta mendedahkan mereka tidak sependapat pada permulaan musim.

Walaupun Neymar tidak dapat beraksi sejak Februari kerana mengalami kecederaan patah tulang metatarsal, PSG meraih tiga gelaran di Perancis dan bakal menambah satu lagi dalam aksi final Coupe de France berdepan Les Herbiers.

Musim pertama bintang kelahiran Brazil itu, bagaimanapun, tidak berjalan lancar, dengan dia sering kali berbalah dengan penyerang utama pasukan, Cavani, untuk mengambil sepakan percuma atau penalti bagi menambah bilangan gol.

Neymar mengambil sepakan penalti ketika membelasah Dijon 3-0 bagi menjaringkan gol keempat, menafikan peluang Cavani mengatasi rekod jaringan Zlatan Ibrahimovic.

Cavani kemudian memecahkan rekod tersebut dan perbalahan di antara dua pemain itu telahpun terlerai walaupun pemain kebangsaan Uruguay itu percaya dia sudah melupakan isu di antaranya dan Neymar.

"Benar, sebelum ini saya tidak sependapat dengan Neymar," kata Cavani.

"Saya mahu membantunya untuk meraih gelaran individu tetapi Neymar perlu terlebih dahulu membantu pasukan meraih kejayaan.

"Saya seorang pemain bola sepak -- bukan seorang bintang. Saya bekerja keras dan mahu memberikan yang terbaik. Jika saya mempunyai rakan sepasukan yang mahu berjaya memenangi anugerah individu, saya akan membantunya.

"Mereka perlu meletakkan sasaran pasukan terlebih dahulu. Pihak pengurusan telah mengambil keputusan dan saya perlu menghormatinya," jelasnya.