Zinedine Zidane tidak patut dipersalahkan seandainya Real Madrid gagal memenangi LaLiga musim ini, menurut bekas penjaga gol kelab itu, Iker Casillas.

Madrid ketinggalan dua mata di belakang pendahulu dan seteru kota, Atletico, menjelang pertembungan terakhir musim ini.

Atleti akan bertandang ke Real Valladolid yang diancam penyingkiran sementara Madrid bertemu pasukan di tangga ketujuh, Villarreal, di tempat lawan.

Sekiranya Atleti dinobatkan sebagai juara LaLiga, ini bermakna Madrid akan mengakhiri musim tanpa trofi utama, lantas timbul spekulasi di Sepanyol bahawa Zidane akan melepaskan jawatannya selaku pengurus.




Casillas, bagaimanapun, menganggap bekas rakan sepasukannya di Madrid itu tidak boleh dijadikan kambing hitam sekiranya kempen mereka musim ini berakhir tanpa sebarang kejuaraan atas pencapaiannya terdahulu.

Zidane mengemudi Madrid menawan memenangi dua gelaran LaLiga sebagai pengurus selain menjulang hatrik Liga Juara-Juara (UCL), Supercopa, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA dalam dua tempoh kendaliannya.

"Zidane tidak patut dikritik atas apa perkara sekalipun," kata Casillas yang membuat 510 penampilan LaLiga bersama Los Galacticos kepada Radio Marca.

"Pencapaiannya sangat luar biasa dan tidak ramai yang mampu melakukannya malah untuk seorang individu sekalipun.

"Saya lebih suka Real Madrid menguasai puncak tetapi saya harap Real Valladolid dapat membantu kami menang pada hujung minggu ini. Semoga tuah menyebelahi mereka tetapi mereka juga harus menolong diri sendiri untuk memenangi LaLiga."