Pertahanan Real Madrid, Dani Carvajal, berasakan bintang Chelsea, Eden Hazard, akan memantapkan lagi jentera serangan Los Blancos.

Hazard dijangka menyertai gergasi LaLiga itu daripada Chelsea dengan yuran perpindahan EURO100 juta (RM470 juta) selepas tujuh musim beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

Carvajal, yang bersama Real sejak 2013, percaya pemain kebangsaan Belgium itu adalah apa yang diperlukan di Santiago Bernabeu.

"Hazard akan memperkuatkan lagi jentera serangan Real," katanya.

"Dia seorang pemain yang sentiasa mahukan bola dan tidak gemar berselindung."

Zinedine Zidane sudah memulakan rombakan Real dengan menandatangani penyerang, Luka Jovic, dari Eintracht Frankfurt semalam.

Carvajal menerima kehadiran Jovic yang meledak 27 gol dalam semua pertandingan pada musim 2018-19.

"Jovic seorang pemain nombor 9 yang berkualiti. Saya berharap dia dapat beraksi dengan cemerlang," tambahnya.

Real menamatkan saingan LaLiga di tangga ketiga, ketinggalan 19 mata kepada juara, Barcelona.

Carvajal lega musim 2018-19 sudah berakhir dengan berkata, "Ia adalah musim terburuk sejak saya menyertai skuad utama.

"Perkara terbaik adalah musim ini sudah berakhir. Kehadiran Zidane memberikan oksigen kepada pasukan."