Penyerang West Ham United, Andy Carroll, mengakui dirinya kini sedang menanti peluang dipanggil semula menyertai skuad England bagi menghadapi kempen Piala Dunia tahun depan.

Pemain berusia 28 tahun itu dibelenggu masalah kecederaan sejak beberapa musim lalu tetapi telah membarisi kesebelasan utama Hammers sebanyak tiga kali bagi saingan 2017/18.

Memiliki sembilan penampilan bersama skuad kebangsaan England, bekas penyerang Newcastle dan Liverpool itu sedar bahawa dia perlu kekal cergas jika mahu meletakkan dirinya dalam skuad kendalian Gareth Southagate ke Russia 2018.

"Pastinya menarik untuk bersama skuad England," katanya.

"Apa yang perlu saya lakukan adalah terus bekerja keras dan menunggu panggilan. Saya fokus untuk mengekalkan kecergasan, menjaringkan gol dan meraih keputusan yang positif. Jika saya layak, diharapkan saya meraih peluang itu.

"Saya yakin dengan apa yang dilakukan serta kebolehan yang dimiliki. Kini saya berasa lebih bagus, lebih tajam di depan gol serta berjaya mengembalikan kecergasan."

Dalam masa sama, pengendali pasukan, Slaven Bilic, mahu Carroll terlebih dahulu memberi perhatian terhadap waktu permainan serta jaringan buat kelab jika dia mahu merebut tempat dalam pasukan England.

"Dia perlu lebih konsisten, beraksi dengan baik, hasilkan jaringan dan memberikan impak besar buat West Ham, kemudian boleh memikirkan tentang Piala Dunia.

"Saya menyaksikan perlawanan England kerana Aaron Cresswell tetapi Carroll perlu fokus kepada aksi kelab," ujar Bilic.