Michael Carrick mengakui segala-galanya "serba tidak menjadi" ketika David Moyes menjadi pengendali Manchester United.

Moyes mengambil alih tugas Alex Ferguson selepas beliau bersara pada penghujung musim 2012-13, ketika menyaksikan United meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali ke-20.

Bagaimanapun, bekas pengendali Everton itu gagal mengekalkan prestasi yang sama di Old Trafford sehingga dipecat apabila tewas kepada bekas kelab kendaliannya pada April 2014, keputusan yang memastikan United tidak lagi bersaing dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Carrick menafikan terdapat pergolakan di dalam bilik persalinan United ketika mereka dipimpin oleh Moyes tetapi menyifatkan ia merupakan satu musim yang sukar buat The Red Devils.

"Ia adalah saat yang sukar buat United. Saya berasakan persaraan Sir Alex Ferguson dan perubahan drastik berlaku di dalam pasukan," katanya.

"Kami beraksid dengan baik dalam UCL dan tetapi gagal mara jauh ketika disekat oleh Bayern Munich dalam suku akhir.

"Malang buat David, beliau dipecat dan saya sedih dengan cara ia berakhir. Sebagai pengurus, jika anda tidak mendapatkan keputusan yang baik, anda perlu bertanggungjawab."

United berdepan Sunderland yang kini dikendalikan oleh Moyes dan mahu kembali bangkit selepas seri dua kali berturut-turut dengan West Brom dan Everton.

Tetapi Carrick yakin pengurus pasukan, Jose Mourinho, mampu menghasilkan kejayaan buat pasukan walaupun sekali lagi mengharungi musim yang tidak menyebelahi mereka.

"Mourinho adalah seorang pemenang.

"Beliau mampu membawa pasukan kembali ke puncak. Walaupun kami ketinggalan di dalam saingan liga, kami telah memenangi Piala EFL dan kami dalam perjalanan untuk mencari satu lagi gelaran."