Liverpool harus mengucapkan selamat tinggal kepada gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sekiranya mereka gagal menjinakkan Manchester City, tengah malam Isnin ini, menurut legenda The Reds, Jamie Carragher.

Kemerosotan prestasi pasukan kendalian Jurgen Klopp itu menyaksikan juara bertahan berkenaan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu City, yang memiliki kelebihan satu perlawanan.

Pertembungan di Anfield itu belum mampu memulihkan nasib Liverpool musim ini, namun ia boleh menjadi titik tolak kepada mereka untuk kembali mempamerkan standard tinggi sebagaimana musim lalu.

Begitupun, Carragher menyeru pasukan di tangga keempat itu agar mendapatkan kestabilan dan memastikan kekal di kedudukan empat teratas.

Sejurus tumpas 0-1 kepada Brighton & Hove Albion semalam, pertahanan kiri, Andy Robertson, mengakui buat masa ini mereka tergelincir dalam pemburuan gelaran.,

"Liverpool harus melihat kepada mengukuhkan tempat di empat posisi teratas dan perlu mengharungi setiap perlawanan dengan seadanya memandangkan prestasi mereka yang sangat rendah," kata Carragher.

"Terdapat begitu banyak perubahan dalam pasukan ini sehingga membuatkan anda tidak begitu yakin. Alisson terpinggir pada saat-saat dan Liverpool masih menunggu beberapa pemain untuk kembali (daripada kecederaan).

"Jadi saya rasa mulai sekarang, jika anda menawarkan Liverpool di kedudukan empat teratas, mereka perlu mengambil peluang itu dan mencapainya. Ia harus ditanam dalam pemikiran kerana itulah yang mereka inginkan pada masa ini.

"Sekiranya mereka dapat kembali ke perebutan gelaran -- dan untuk melakukannya, mereka harus mengalahkan City -- kemudian kita boleh melihat di mana kedudukan mereka selepas tujuh atau lapan perlawanan lagi. Semoga daripada perspektif Liverpool, persembahan City akan penurunan."



Carragher, yang bercakap kepada podcast Sky Sports, Pitch to Post, menyifatkan penampilan The Citizens sebagai luar biasa selepas pasukan asuhan Pep Guardiola tersebut mencatat kemenangan ke-13 berturut-turut dengan menewaskan Burnley 2-0, semalam.

Itu adalah kemenangan terpanjang yang pernah direkodkan kelab EPL sejak Arsenal melakukannya pada Mac hingga Ogos 2002.

Bagaimanapun, Carragher menegaskan: "Tidak mungkin ia akan berterus. City tidak mampu memenangi setiap perlawanan. Jadi saya mengharapkan mereka akan keciciran mata di tahap tertentu.

"Tetapi masalah Liverpool ialah jurangnya yang terlalu besar dan ia akan semakin melebar jika mereka gagal menang di Anfield."