Eduardo Camavinga menegaskan bahawa dia akan kekal di Rennes bagi musim 2020-21 meskipun dikaitkan untuk menyertai Real Madrid.

Camavinga, 17, dikaitkan untuk menyertai pasukan juara LaLiga itu bagi menjadi pemain sokongan kepada Casemiro.

Bagaimanapun, pemain tengah itu, yang masih mempunyai kontrak dengan Rennes hingga 2022, berkata bahawa dia akan kekal bersama kelab Ligue 1 berkenaan.

"Saya masih ada kontrak yang berbaki dua tahun. Saya akan berada di Rennes musim ini," katanya kepada Telefoot.

Camavinga turut menegaskan bahawa dia tidak terganggu dengan spekulasi mengenai masa depannya itu.

"Ia langsung tidak mengganggu saya, Ia bola sepak.

"Terdapat perkara yang benar dan tidak benar," tambahnya.

Camavinga melakukan 36 penampilan dalam kesemua kejohanan buat Rennes musim lalu dan akan membuka kempen musim 2020-21 dengan menentang Lille awal pagi esok.