Pemain baru Real Madrid, Eduardo Camavinga, menegaskan dia 'bersedia untuk bermain' kerana dia ingin segera menempah nama di Sepanyol.

Pemain berusia 18 tahun itu berhijrah ke Real dengan kontrak selama enam tahun dari Rennes Ogos lalu, pertama kali kelab menandatangani pemain sejak kedatangan Eden Hazard dari Chelsea pada 2019.

Camavinga melakukan 71 penampilan dalam saingan Ligue 1 buat Rennes dan pada usia 18 tahun dan sembilan bulan, dia menjadi pemain termuda beraksi dalam jumlah perlawanan tersebut sejak Basile Boli pada 1985.

Pemain muda itu mula menempah nama bersama kelab pada musim 2019-20, melakukan 105 terjahan. Declan Rice (116) dan Wilfred Ndidi (129) merupakan pemain yang lebih banyak melakukannya dalam lima liga utama.

Di sebalik barisan tengah yang dibarisi Casemiro, Toni Kroos, Luka Modric dan Federico Valverde, pemain terbaru Real itu mahu membuktikan kemampuannya kepada jurulatih, Carlo Ancelotti.

"Saya sudah bersedia untuk bermain sekarang," kata Camavinga.

"Seperti yang saya katakan sebelumnya, memang benar bahawa saya adalah pemain muda. Mungkin saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, mungkin tidak. Saya berasa bersedia.

"Saya datang untuk belajar dan kemudian saya harus menunjukkan kepada jurulatih bahawa saya sudah bersedia dan menikmati masa bermain."



Camavinga membuat penampilan sulungnya bersama Perancis 8 September tahun lalu, pemain termuda yang melakukannya sejak Maurice Gastiger menentang Luxembourg 107 tahun lalu.

Hanya Gastiger (17 tahun dan lima bulan) menjaringkan gol bua Les Bleus pada usia yang lebih muda berbanding Camavinga, yang berusia 17 tahun dan 11 bulan ketika melakukannya ketika bertemu Switzerland Oktober tahun lalu.

Ditanya bagaimana kualiti persaingan barisan tengah akan mempengaruhi dirinya, Camavinga berkata, "Persaingan daripada pemain-pemain itu memberi banyak motivasi kepada saya.

"Dan saya juga akan belajar banyak perkara daripada mereka, secara taktikal dan teknikal."