Teka-teki mengenai siapa calon sebenar untuk jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya akan terjawab esok

Ini kerana dua calon pilihan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tampak memilih untuk menentukan pendirian masing-masing pada tarikh akhir pengesahan pencalonan.

Sehingga petang ini, difahamkan Tunku Ismail dan Khairy masih belum menghantar borang pengesahan pencalonan, termasuk seorang lagi calon, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Bagaimanapun, Tunku Ismail dijangka mengesahkan kedudukannya sebelum petang esok.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi, yang mengetuai delegasi 14 ahli gabungan ketika pertemuan dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, baru-baru ini.

"Tunku Mahkota Johor (TMJ) akan membuat satu perubahan drastik kepada FAM. Kita boleh lihat rakan-rakan ahli gabungan pun mengharapkan sesuatu yang lebih baik berbanding sekarang.

"Maka, saya melihat untuk membuat sesuatu yang lebih drastik ini memerlukan seseorang yang memiliki jiwa kuat," katanya.

Jika itu berlaku, Khairy dijangka membuat keputusan menarik diri daripada bertanding merebut 'kerusi panas' tersebut.

Badan induk itu akan mengumumkan senarai calon bertanding selepas mesyuarat eksekutifnya pada 20 Februari ini untuk pemilihan penggal 2017/2021 yang akan diadakan 25 Mac depan.