Ketua jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi, percaya Hakan Calhanoglu "tidak sedar betapa bagus dirinya" selepas melakukan penampilan pertama yang penuh gemilang ketika berdepan Genoa dalam Serie A awal pagi tadi.

Selepas menyertai pasukan itu daripada seteru tradisi, AC Milan, Calhanoglu menandakan penampilan pertamanya bersama Nerazzurri dengan satu jaringan sensasi selain membantu gol Milan Skriniar dalam kemenangan 4-0 itu.

Dua penglibatan gol itu dilakukan hanya dalam 14 minit pertama -- memerlukan sembilan perlawanan untuk mencapai rekod sama ketika memulakan kariernya di Milan.

Arturo Vidal kemudian menjaringkan gol ketiga Inter dalam babak kedua sebelum pemain baru dari AS Roma, Edin Dzeko, melengkapkan penguasaan pasukan Inzaghi itu menerusi gol tandukannya pada minit ke-87.

Pasukan juara bertahan itu kini telah menjaringkan tiga gol atau lebih dalam empat perlawanan Serie A berturut-turut di laman sendiri buat kali pertama sejak 2011.

Inzaghi tidak terkejut dengan persembahan dominan pasukannya dan bekas pengendali Lazio itu memberikan pujian khusus buat sumbangan yang diberikan Calhanoglu.

"Saya amat yakin yang pasukan ini dapat melakukannya dengan baik kerana saya telah melihat usaha keras, keghairahan dan keinginan yang tinggi sejak 8 Julai lalu, mereka bersedia mempelajari konsep baru," katanya kepada DAZN.

"Kami tidak boleh mengharapkan sesuatu yang lebih selain permulaan seperti ini, terutama di depan penyokong kami yang telah kembali ke stadium.

"Calhanoglu pemain yang hebat, dapat menyatukan kualiti dan kuantiti. Dia juga berlari dengan amat kuat untuk pasukan ini. Setiap kali saya berdepan dengannya, dia memberikan saya masalah.

"Kami cukup bertuah untuk dapat memilikinya dan saya fikir dia boeh menjadi lebih kuat kerana dia tidak menyedari betapa bagus dirinya," katanya.