Pemain tengah menyerang Bayer Leverkusen, Hakan Calhanoglu, sanggup tidak mengambil gajinya sepanjang menjalani penggantungan selama empat bulan kerana melanggar kontrak.

Hukuman itu dikenakan di atas kesalahan yang dilakukannya pada 2011, apabila Calhanoglu bersetuju untuk berpindah ke kelab Turki, Trabzonspor, sebelum memutuskan untuk menyambung kontraknya dengan kelab Jerman, Karlsruher SC.

Justeru, pemain yang mencecah usia 22 tahun itu dikenakan hukuman penggantungan selain diarahkan membayar pampasan kepada Trabzonspor sebanyak EUR100,000 (RM474,110), dengan Mahkamah Timbangtara Sukan pada minggu lepas menyokong hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu.

Sungguhpun begitu, Calhanoglu melahirkan simpati dan mempertahankan Bayer yang dianggap tidak terlibat dengan kes berkenaan.

"Bayer 04 tidak ada kena-mengena ketika insiden ini berlaku," katanya.

"Bayer terkesan teruk dengan hukuman ini dari segi sukan dan ekonomi.

"Saya tidak mahu menjejaskan kelab ini lagi sepanjang penggantungan saya, oleh itu saya tidak akan mengambil gaji saya."

Calhanoglu akan terus berlatih bersama skuad utama Leverkusen bagi mengekalkan tahap kecergasannya manakala mereka akan terus berusaha mendapatkan bukti dalam usaha mengemukakan rayuan.