MILAN 2 BENEVENTO 0

Hakan Calhanoglu perlu menyumbangkan lebih banyak gol seandai dia ingin mencapai potensi penuhnya, saran pengurus Milan, Stefano Pioli.


Pemain antarabangsa Turki itu menjaringkan gol keempat Serie A musim ini ketika Milan bangkit daripada kekalahan berturut-turut dengan menundukkan Benevento 2-0 di San Siro, awal pagi tadi.

Gol itu meletakkan Calhanoglu selaku pemain Turki keempat yang menjaringkan 50 gol dalam kempen lima utama Eropah sejak era milenium di belakang pencapaian Mevlut Erdinc (92), Nihat Kahveci (76) dan Halil Altintop (67).

Dia masih kurang lima jaringan lagi untuk mengulangi catatan musim lalu, maka tidak hairanlah Pioli meletakkan harapan yang lebih tinggi terhadap pemain berusia 27 tahun itu.

"Pada pandangan saya, Calhanoglu belum lagi mencapai potensi maksimum. Dia menawarkan kualiti, ketekunan, kerja keras, dia bermain secara berpasukan," katanya kepada DAZN.

"Dia hanya perlu lebih berkesan dalam bantuan jaringan dan hantaran terakhirnya, terus mempamerkan kemajuan selain lebih mengambil kira pilihan yang dimilikinya.






"Saya rasa dia harus perlu lebih bernafsu untuk menjaringkan lebih banyak gol kerana dengan bakat yang dimilikinya, dia harus menetapkan sasaran yang lebih tinggi dan menyumbangkan angka berganda daripada segi gol."

Zlatan Ibrahimovic membuat penampilan semula sejak mengutip kad merah dalam kemenangan 3-1 ke atas Parma, 10 April lalu, apabila mempamerkan persembahan yang penuh bersemangat.

Pemain antarabangsa Sweden itu melancarkan tujuh sepakan ke arah pintu gol -- empat percubaan lebih banyak daripada pemain lain.

Walaupun tidak menghasilkan sebarang gol, Pioli tetap gembira dengan kelibat pemain berusia 39 tahun itu.

"Ibrahimovic adalah juara dan juara menjadikan semua orang di sekitarnya meningkatkan tempo mereka," kata pengurus Rossoneri itu.

"Ketiadaannya tentu saja menjejaskan pasukan tetapi kami telah menempuhi banyak kesulitan dan mempamerkan karakter besar.

"Adalah bagus untuk tidak memberikan ruang kepada pertahanan lawan memberi tumpuan kepadanya semata-mata, Zlatan memiliki kecerdasan taktikal yang hebat dan tahu bagaimana untuk bergerak mencari ruang."

Keputusan itu melonjakkan Milan satu mata di depan Atalanta selain tiga mata di depan Napoli dan Juventus untuk menguasai tempat kedua, tetapi ketiga-tiga pencabar berkenaan hanya akan beraksi malam ini.

Pioli akan mengemudi pasukannya ke Juve, hujung minggu depan, bagi mencerahkan harapan pasukannya layak ke kempen Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.