Hakan Calhanoglu "berang" dengan keengganan pengadil, Daniele Orsato, mengesahkan kejadian yang menyaksikan Ante Rebic dibuang padang menerusi video bantuan pengadil (VAR) sehingga Milan terkandas dalam separuh akhir Coppa Italia.

Perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Allianz awal pagi tadi itu merupakan aksi profesional pertama di Itali selepas tiga bulan tertangguh akibat wabak COVID-19.

Pertembungan timbal balik itu berakhir 0-0, namun kelebihan gol di tempat lawan selepas seri 1-1 di San Siro Februari lalu menghantar Juve ke final untuk berhitung sama ada dengan Inter atau Napoli, Khamis depan.

Bianconeri seharusnya mendahului pada minit ke-16 apabila Orsato menghadiahkan sepakan penalti ekoran bola terkena tangan Andrea Conti di penjuru kotak penalti.

Cristiano Ronaldo, yang tampil memikul tanggungjawab itu, bagaimanapun gagal menyudahkannya dan 17 saat kemudian, Rebic dilayangkan kad merah ekoran terjahan berbahaya ke arah dada Danilo.





Justeru, Calhanoglu kecewa Orsato tidak diberikan proses yang sama atas kejadian itu.

"Kami cukup marah kerana jika pengadil boleh merujuk kepada VAR terhadap penalti Ronaldo, dia juga harus memeriksa insiden Rebic," katanya kepada Rai Sport.

"Kami melancarkan sepakan lintang, kami beraksi dengan baik dan satu-satunya yang kami terlepas adalah gol.

"Sepanjang dua pertemuan ini, adalah sukar untuk mengatakan siapa yang layak. Saya rasa sekiranya kami (dapat mengetengahkan khidmat trio) Zlatan Ibrahimovic, Samu Castillejo dan Theo Hernandez di sini, kami pasti lebih mantap.

"Adalah wajar pertembungan dengan Juve bukan mudah tetapi kami seimbang."

Sehubungan itu, Satu-satunya jalan Milan untuk meraih tiket Eropah adalah melalui Serie A.

Hanya empat mata memisahkan pasukan kendalian Stefano Pioli itu yang menghuni di tempat ketujuh dengan pasukan di tangga ke-12, Cagliari, maka tidak hairanlah mengapa pengurus Rossoneri tersebut kecewa dengan penyingkiran mereka.

"Sayang sekali kerana objektif kami tidak berjaya, jadi sekarang kami perlu layak ke Eropah menerusi Serie A," katanya.

"Hanya terdapat perbezaan yang sangat tipis dalam kedua-dua perlawanan ini, disebabkan kami dibolosi di tempat sendiri telah memaksa kami memburu gol dalam pertemuan kedua.

"Kami bertahan dengan sangat baik terutama di bahagian bek tengah dan itu menunjukkan bahawa kami boleh bertambah ampuh memandangkan kami memerlukannya untuk maju sepanjang musim ini.

"Ia sesuatu yang mengecewakan. Kami benar-benar mahu bermain dalam final.

"Apa yang kami perlukan sekarang adalah lebih tekal memandangkan setakat ini, kami tidak membawa pulang keputusan seperti yang diharapkan, lagipun jentera serangan kami belum mencapai tahap yang dihajati selain tidak berjaya mengubah nasib kami."