Bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon, berkata ia bukan sesuatu yang pelik melihat Cristiano Ronaldo menyertai Juventus tetapi memberikan amaran kepada Real Madrid mengenai penjualan pemain itu.

Spekulasi berterusan mengenai masa depan penyerang Portugal itu yang bakal menyertai Juventus bagi musim 2018-19.

Ronaldo akan mencecah 34 tahun pada 2019 tetapi penyokong masih percaya bahawa dia adalah tonggak di sebalik kejayaan Real dan Calderon bersetuju dan berharap Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mampu meyakinkan dia untuk tidak berhijrah.

"Jika Ronaldo tinggalkan Real, dia akan meninggalkan satu kekosongan yang tidak boleh digantikan mana-mana pemain," katanya.

"Bukan senang untuk mencari sang juara yang mengambil bahagian ketika saat genting, menjanjikan 50 gol setiap musim sejak sembilan tahun lalu.

"Perez telah melakukan keputusan yang penting buat Real tetapi beliau gagal melakukan yang terbaik untuk Raul dan Iker Casillas.

"Tetapi Ronaldo mula menyedari Perez tidak menilai dirinya dengan sebaik mungkin. Ronaldo memerlukan gaji yang lebih baik, suatu perkara yang biasa buat petugas terbaik dalam setiap syarikat.

"Dia agak kecewa apabila mengetahui Real sedia membuat persiapan membayar dua kali ganda kepada Neymar."

Bagaimanapun, Calderon mengetahui Ronaldo akan tampil cemerlang untuk Juventus dan Serie A.

"Juventus merupakan antara kelab terbaik dunia, jadi ia bukan suatu keputusan yang pelik jika dia menyertai Bianconeri.

"Kehadirannya akan meningkatkan mutu Serie A dan Juve memiliki harapan untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL).

"Ronaldo merupakan satu peluang pemasaran yang tinggi. Banyak kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya."