Biarpun kerap beraksi untuk skuad kebangsaan, tonggak Selangor, Brendan Gan, tidak mengambil mudah kejohanan pemanas badan, Piala Cabaran Asia 2020, malah menganggap ia sebagai platform terbaik untuk The Red Giants memulakan langkah positif musim ini.

Skuad kendalian B. Sathianathan itu akan mengharungi Cabaran Asia 2020 yang membabitkan penyertaan tiga pasukan jemputan dari rantau ini, iaitu Bangkok City dari Thailand, Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia) di Stadium Shah Alam yang bermula 18 Januari ini.

Pemain tengah itu mengakui ia bukan tugas mudah meskipun kerap diberi kepercayaan oleh Tan Cheng Hoe bagi menggalas tanggungjawab bersama skuad kebangsaan.

"Dalam fikiran saya, saya mahu beraksi baik musim ini, termasuk dalam Piala FA dan Piala Malaysia.

"Cabaran Asia akan menjadi ujian bagus mengenai corak permainan, pemilihan pemain dan formasi yang akan kami digunakan.

"Ia akan membantu kami memahami apa yang baik dan tidak buat pasukan," kata pemain kelahiran Australia itu di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pagi tadi.

Sementara itu, bekas pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin, mengakui perlu bekerja keras untuk meraih perhatian Sathianathan, sekali gus memburu tempat dalam kesebelasan utama musim 2020.

"Saya mahukan satu atau dua piala untuk pasukan serta dipanggil membarisi pasukan kebangsaan.

"Tetapi sebelum itu, saya perlu perbaiki permainan sendiri dan tunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan," kata Rodney.



Editor: Shaiful Shamsudin