BAYERN MUNICH 4 BAYER LEVERKUSEN 0

Julian Nagelsmann percaya kemenangan 4-0 Bayern Munich ke atas Bayer Leverkusen dalam saingan Bundesliga di Arena Allianz awal pagi tadi menunjukkan bahawa pasukan itu benar-benar komited dengannya.

Jamal Musiala muncul wira Bayern dengan menjaringkan satu gol dan mencetuskan dua jaringan lain sebelum menerima tepukan gemuruh daripada penyokong pasukan itu ketika dikeluarkan pada minit ke-81.

Selain itu, bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane, turut berada dalam senarai penjaring Bayern selepas kebuntuan gol dalam lima perlawanan terakhir.

Nagelsmann berkata kepada DAZN selepas perlawanan itu: "Terdapat banyak yang diperkatakan tentang hubungan antara pasukan ini dan pengurusnya.

"Saya sentiasa katakan yang anda dapat melihatnya ketika pemain meninggalkan bilik persalinan sekiranya mereka menghormati pengurus mereka.

"Dan anda dapat lihat dalam setiap perlawanan (sejak kebelakangan ini) bahawa pemain memberikan komitmen sepenuhnya.

"Perkara itu amat memuaskan saya hari ini," katanya.

Kemenangan itu tiba selepas Bayern melewati empat perlawanan tanpa kemenangan, sekali gus melonjakkan mereka ke tangga kedua liga dengan 15 mata selepas lapan perlawanan.

Union Berlin kini merupakan pendahulu Bundesliga dengan 17 mata manakala Borussia Dortmund pula berada di tangga ketiga, juga dengan 15 mata tetapi berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.