Bayern Munich akan memulakan misi kejuaraan Bundesliga ke-10 berturut-turut dengan bertandang ke gelanggang Barussia Monchengladbach sebelum ketua jurulatih mereka, Julian Nagelsmann, bertemu bekas majikannya, RB Leipzig.

Pengendali baru Bayern, Nagelsmann, akan membawa pasukannya ke laman Leipzig dalam perlawanan keempat kejohanan itu, iaitu pada 12 September depan setelah memilih untuk meninggalkan kelab Saxony itu bagi menyertai pasukan juara liga berkenaan.

Nagelsmann, yang menggantikan Hansi Flick mengepalai cabaran Bayern, dijangka akan mengekalkan tahap tertinggi kelab Bavarians itu sama seperti sepanjang beberapa tahun lalu.

Mereka memenangi liga musim lalu dengan kelebihan 13 mata manakala Leipzig muncul pasukan kedua terbaik dan Borussia Dortmund pula di tangga ketiga.

Leipzig dan Dortmund dijangka akan kekal menjadi pesaing utama dalam merebut kejuaraan di Jerman tetapi Bayern membawa misi yang lebih besar untuk melanjutkan rentetan kejuaraan mereka dalam Bundesliga kepada 10 musim berturut-turut.