Pemain tengah Pahang, Mohd Nor Azam Azih, mahu memanfaatkan sepenuhnya panggilan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara untuk Sukan SEA Kke-29 selepas kempunan dua tugasan besar bersama pasukan itu.

Nasib Nor Azam untuk beraksi di peringkat tertinggi sebelum ini tidak menyebelahinya walaupun prestasinya berada di tahap terbaik.

Digugurkan pada saat-saat akhir daripada skuad Sukan SEA Singapura 2015, pemain kelahiran Maran, Pahang berusia 22 tahun ini turut terlepas peluang mewakili skuad muda negara untuk kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok bulan lalu gara-gara tidak mendapat pelepasan majikannya.

Begitupun, dia berpeluang untuk membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA apabila namanya berada dalam senarai 27 pemain untuk kem latihan pusat yang akan bermula Ahad ini.

"Kalau nak ikutkan, memang susah nak dapatkan peluang tetapi sebagai pemain, kami perlu berjuang untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

"Dulu pengalaman pun tiada, itu kelemahan saya. Saya mahu memastikan tempat itu senang untuk saya," katanya.

Kehadiran Nor Azam sudah pasti memberi pilihan kepada jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, untuk posisi tengah bertahan selain pemain serba boleh Pulau Pinang, Mohd Syamer Kutty Abba.

Senarai akhir 20 pemain dijangka diumumkan Kim Swee, 12 Ogos ini.

Jadual bola sepak lelaki dalam Sukan SEA:

14 Ogos, 8.00 mlm
Malaysia lwn Brunei

16 Ogos, 8.00 mlm
Malaysia lwn Singapura