MANCHESTER UNITED 3 SOUTHAMPTON 2

Perasaan Jose Mourinho dipenuhi dengan emosi apabila Manchester United menjulang kejuaraan Piala EFL selepas melakar kemenangan 3-2 ke atas Southampton di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol, termasuk gol kemenangan pada minit ke-87, untuk memberikan trofi pertama buat Mourinho sejak mengambil alih pasukan pada awal musim 2016-17.

United mendahului perlawanan menerusi sepakan percuma Ibrahimovic dan jaringan Jesse Lingard sebelum Southampton menyamakan kedudukan selepas Manolo Gabbiadini meledak dua gol.

Mourinho berasa amat berbangga dengan pencapaian pasukannya kerana ia merupakan gelaran Piala EFL keempat buat dirinya -- menyamai pencapaian Brian Clough dan bekas pengurus United, Sir Alex Ferguson.

"Ia merupakan satu tugas yang sukar untuk meraih gelaran, bukan mudah untuk memenangi kejuaraan banyak kali," katanya.

Mourinho mendedahkan beliau tidak memainkan peranan penting ketika sambutan United selepas perlawanan kerana menyifatkan pemain-pemainnya telah memberikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan ini.

"Kejayaan ini adalah untuk mereka (pemain-pemain) dan penyokong-penyokong kami.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar buat kami, Southampton sentiasa memberikan kesukaran kepada kami sepanjang perlawanan ini."