Di sebalik suasana suram yang sedang dihadapi kelab Derby County yang kini secara rasminya ditolak 12 mata berikutan situasi di mana kelab tersebut terpaksa diletakkan di bawah pentadbiran insolvensi berlesen (administration), Wayne Rooney kekal setia menjanjikan persembahan terbaik di atas padang daripada pemain-pemainnya terutama daripada segi aspek pertahanan yang cukup berkualiti.

Tidak dapat dinafikan, penyokong-penyokong Derby terpaksa bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan bahawa mereka terpaksa melihat kelab kesayangan diturunkan ke League One pada musim depan. Situasi kewangan yang sangat membimbangkan di Derby ini mengingatkan kita kepada situasi yang sama berlaku terhadap Sunderland selepas mereka tersingkir daripada EPL pada tahun 2017 dan mengambil masa bertahun-tahun untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangan mereka.






Derby County sesungguhnya bertuah memiliki Rooney yang kekal setia di sisi mereka tika mereka melalui situasi yang sangat sukar untuk di proses pada masa ini. Sebahagian besar pengurusan kelab kemungkinan akan kehilangan kerja, sokongan penyokong akan mula berbelah bahagi dan terutamanya motivasi pemain juga akan terganggu.

Tetapi Rooney tegas menyatakan dia akan terus memastikan tanggungjawabnya dilaksanakan di atas padang untuk memastikan pemain terus memberi persembahan terbaik untuk kelab, meskipun 12 mata telah ditolak dan meletakkan mereka di antara tangga terbawah liga. Rooney tidak merancang untuk meninggalkan skuadnya tatkala kelab melangkah ke ambang kejatuhan, malah berjanji untuk bersama dengan pemain dan menetapkan fokus mereka terhadap hanya satu perkara, iaitu memberikan yang terbaik dalam setiap satu perlawanan pada musim ini.

Walaupun kedudukan Derby jatuh merudum, satu perkara yang positif yang patut diberi perhatian dengan lebih tinggi ialah meskipun Derby di bawah kendalian Rooney hanya baru menjaringkan 7 gol dalam kesemua 8 perlawanan musim ini, tetapi dari aspek pertahanan, hanya 8 goal dapat dijaringkan ke dalam gawang Derby oleh pihak lawan setakat ini.

Formasi 4-2-3-1 merupakan formasi utama pilihan Rooney dalam 50% dari kesemua perlawanan yang telah dimainkan oleh mereka. Melihat kembali kepada statistik dari musim lepas, peratus pihak lawan dapat menjaringkan gol ke dalam gawang The Rams berada pada tahap 1.67% dalam setiap perlawanan, tetapi peratus itu telah dikurangkan secara drastik pada musim ini, di mana kemungkinan pihak lawan untuk menjaringkan gol terhadap Derby turun ke 0.67%.





Kemasukan Phil Jagielka yang merupakan bekas pemain Everton selama 12 tahun sebelum pulang ke kelab asalnya iaitu Sheffield United merupakan antara keputusan yang tepat untuk Rooney menguatkan sistem pertahanan Derby County. Bersama-sama dengan Jagielka, Richard Stearman seorang lagi pemain pertahanan yang pernah berkhidmat secara cemerlang di Leicester City sebelum berpindah ke Wolverhampton, Fulham, Sheffield, Huddersfield sebelum dibawa masuk ke Derby musim ini.

Rooney memilih untuk memastikan corak permainan Derby yang progresif dari segi pembinaan 'build-up play' dari belakang, untuk sentiasa berpaksikan pada struktur pertahanan pasukan itu sendiri. Sistem pertahanan Derby dalam perlawanan-perlawanan pada musim ini ternyata berkualiti apabila kita lihat dari segi statistik, Derby antara empat kelab tertinggi dalam EFL yang memenangi 'defensive duels' dalam purata 60% dan 42% untuk 'interceptions' setiap 90 minit perlawanan yang dimainkan mereka.



(kredit imej: Total Football Analysis)

Antara perkara yang kita boleh nampak dalam contoh perlawanan Derby menentang Reading di sini ialah, Derby cukup berdisplin dalam memastikan setiapkali pihak lawan memegang bola, mereka akan menggunakan 'touchline' sebagai 'seorang pemain pertahanan tambahan'. Situasi ini akan menghalang pihak lawan untuk membuat 'inside passing lanes' yang mudah yang membolehkan mereka untuk membawa bola ke atas sekaligus menuju terus ke kawasan gawang gol Derby County.

Struktur ini hanya boleh dilaksanakan jikalau seseorang pemain itu mengawal pembawa bola secara ketat dan agresif dan sentiasa mengagalkan percubaan untuk membuat sebarang hantaran ataupun 'ball supply' kepada rakan sepasukan mereka.

Seterusnya, ini akan membuatkan pihak lawan terpaksa membuat 'backward pass' kepada pemain pertahanan yang paling terdekat untuk mereka mencari jalan alternatif untuk membina 'build-up play' sekali lagi dari bahagian belakang.

Di sinilah Derby County mengorak langkah dengan mengambil peluang dengan cuba membuat 'interception' secara pantas terhadap hantaran tersebut sekaligus mencipta kemungkinan besar pihak lawan tumpas di bawah 'pressure' sekitar kawasan kotak gol mereka sendiri.


Cukup bangga untuk kita, sebagai peminat bolasepak untuk menyaksikan Wayne Rooney, yang merupakan antara seorang pemain lagenda Manchester United dan penjaring terbanyak untuk pasukan England, memilih untuk kekal mengendali kelab Derby County di ambang kejatuhan dengan memastikan kelab tersebut bermain dengan kualiti taktikal pertahanan yang tinggi.

Hakikatnya, jikalau Derby terpaksa disingkirkan ke League One sekalipun pada akhir musim ini, dengan momentum struktur permainan yang dapat dikekalkan oleh Rooney di atas padang, pemain-pemain akan terus menerus cuba memberikan persembahan yang membanggakan untuk kelab dan penyokong.

Hidup ini bagaikan putaran roda. Kadangkala kita berada di atas, kadangkala kita tersangkut seketika di bawah. Dalam konteks bolasepak,


apabila kelab kita berhadapan dengan situasi sebegini sukar dan gelap seperti apa yang sedang dilalui oleh Derby pada masa ini, penyokong hanya perlukan satu perkara yang membuatkan kita kekal beriktikad dengan kelab masing-masing.





Satu-satu perkara yang dijanjikan oleh Rooney dan pemain-pemain Derby kepada penyokong mereka, ialah harapan. Rooney menjanjikan harapan kepada penyokong Derby. Bukan matlamat Rooney untuk meninggalkan Derby dengan sewenang-wenangnya pada saat gelap ini.

Kekal berharap.