Casemiro menegaskan Real Madrid tidak boleh memberi tumpuan kepada Robert Lewandowski semata-mata apabila bakal mempertahankan kelebihan 2-1 ke atas Bayern Munich di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.

Pemain antarabangsa Poland itu terlepas perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara minggu lalu ekoran kecederaan bahu tetapi dijangka kembali dalam kesebelasan utama di Sepanyol.

Casemiro mengakui penggempur prolifik itu merupakan ancaman utama walaupun dia turut berhati-hati dengan kemampuan pemain lain.

"Lewandowski adalah seorang pemain yang berkualiti tetapi tidak semuanya adalah mengenainya," kata Casemiro dalam sidang media.

"Mereka mempunyai skuad cemerlang. Kami perlu berada di tahap terbaik dan bukan hanya tertumpu kepada seorang pemain sahaja.

"Kami perlu menghormati mereka, ia belum berakhir lagi; mereka mempunyai pemain berkualiti yang berbahaya. Kami mencapai keputusan yang baik tetapi kami akan terus dengan cara yang sama dan tidak akan bersikap sambil lewa... Kami tahu apa yang akan kami lakukan.

"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sengit, perjalanan masih panjang dan Bayern adalah pasukan yang sangat sukar. Kami perlukan dorongan daripada penyokong."