Sedar tugas getir yang menanti di Alor Setar menentang Kedah dalam saingan Liga Super, Sabtu ini, pasukan pelawat, Perak, tetap optimis kedua-dua pasukan memiliki peluang terbuka.

Ketua jurulatih The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, berkata: "Kami telah bertemu beberapa kali. Masing-masing telah tahu kekuatan dan kelemahan. Oleh itu, saya yakin selain kami, Kedah turut mempersiapkan diri.

"Boleh dikatakan peluang tetap ada. Setiap pasukan pasti mencari momentum setelah berehat sempena Ramadan.

"Apa yang menariknya, kehadiran pemain-pemain baru import dan tempatan dalam pasukan adalah percaturan terbaik untuk memulakan kempen."

Tidak menafikan pasukan lawan sebuah pasukan yang lengkap, pengendali Perak itu, bagaimanapun, tetap yakin dengan kemampuan pasukannya yang disifatkannya hampir lengkap.

Namun, Mehmet tetap menggesa skuadnya untuk lebih bersedia daripada segi mental dan fizikal.

"Siapa tidak kenal Kedah, pasukan yang dibarisi pemain tempatan dan import yang berkualiti.

"Tetapi dalam bola sepak, fokus pemain yang menentukan bola hadir di dalam jaring atau tidak," tambahnya.

Mengakhiri perbualannya, Mehmet menzahirkan perasaan gembira di kem Perak dan berharap pengurus baru, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, yang akan memulakan tugasnya 1 Julai ini akan meneruskan legasi The Bos Gaurus.