ROMA 0 INTER 3

Jose Mourinho mengucapkan tahniah kepada Inter dan akur Roma memang patut ditundukkan oleh pasukan yang lebih mantap apabila menempa kekalahan memalukan 0-3 kepada bekas pasukannya itu.


Roma melepaskan tiga gol dalam tempoh 39 minit di Stadio Olimpico, awal pagi tadi, dan gagal bertindak balas untuk mengalami kekalahan ketujuh dalam 16 perlawanan Serie A -- terbanyak di peringkat ini sejak 2008-09.

Ia kekalahan yang kedua buat Mourinho dalam lapan perlawanan liga di tempat sendiri sebagai pengurus Roma walaupun memiliki reputasi menarik dengan mencatatkan 38 perlawanan tanpa tewas dalam kempen Serie A di tempat sendiri ketika membimbing Inter.

Ia pertembungan pertama pengurus Portugis itu dengan Inter sejak membimbing mereka merangkul tiga kejuaraan pada 2009-10 dalam musim keduanya.

Roma kehilangan beberapa pemain gara-gara penggantungan, COVID-19 dan kecederaan, sementara duo utama di jentera serangan, Lorenzo Pellegrini dan Tammy Abraham, antara yang tidak dapat diturunkan.






Mourinho tidak merungut mengenai jaringan yang dilepaskan dengan pasukannya hanya mencatat satu percubaan tepat walaupun Inter mengendurkan permainan dalam separuh masa kedua.

"Biasanya Inter lebih mantap daripada kami. Dalam keadaan yang bukan normal, mereka jauh lebih kuat daripada kami," katanya kepada DAZN.

"Musim lalu, mereka mendahului Roma dengan 29 mata. Hari ini, dengan COVID-19, kecederaan dan pemain yang digantung, cabaran kami menjadi sangat sukar.

"Potensi serangan kami hampir tiada. Sangat penting untuk menjaringkan gol kerana kami hanya mempunyai dua atau tiga peluang. Kami sebaliknya melepaskan tiga gol dan tidak merobek gawang mereka.

"Apabila kami mempertaruhkan pertahanan seperti Ibanez dan beberapa pemain lagi di posisi asing buat mereka, kami masih tidak patut melepaskan gol pertama dan ketiga. Tidak boleh.

"Tahniah kepada Inter. Saya ucapkan selamat maju jaya untuk perlawanan seterusnya."