Bos Mexico, Juan Carlos Osorio, berkata ia akan menjadi sia-sia mewujudkan satu pelan permainan untuk perlawanan menentang Portugal awal pagi nanti dengan hanya memberi tumpuan menghalang Cristiano Ronaldo.

Pemenang Piala Emas itu, yang memulakan kempen Piala Konfederasi menentang juara Eropah itu di Kazan Arena, memburu kejutan pertama kejohanan dengan meraih tiga mata.

Perbincangan perlawanan tertumpu kepada bintang Portugal, Ronaldo, yang dibayangi dengan isu penipuan cukai di Sepanyol dan dilaporkan ingin meninggalkan Real Madrid.

Ketua jurulatih, Fernando Santos, menegaskan dia percaya kapten itu akan beraksi baik tetapi Osorio berasakan ia akan menjadi berisiko jika mengabaikan penyerang lain dalam kesebelasan Portugal.

"Kami menjangkakan lawan yang sangat sukar. Mereka adalah juara Eropah dan saya akan mengatakan sekarang ini mereka salah sebuah pasukan terbaik di dunia," katanya dalam sidang media.

"Bagaimanapun, pasukan kami tidak lemah dan kami benar-benar berasa kami mempunyai peluang untuk menang. Kami melakukan persediaan dengan rapi dan kami hanya perlu menjangkakan pemain bermain dengan baik dan melaksanakan pelan permainan.

"Cristiano Ronaldo adalah pemain yang hebat tetapi bukan hanya dia sahaja. Kami fikir sebagai satu pasukan mereka sangat baik secara keseluruhan.

"Ronaldo boleh bermain di kedua-dua bahagian dan mereka biasanya bermain 4-4-2. Mereka mempunyai penyerang cemerlang lain, Nani, (Ricardo) Quarersma, (Gelson) Martins.

"Kami memerlukan pemain boleh menampung kedua-dua bahagian dan kami akan cuba mengawal bola sebanyak yang mungkin. Kami perlu menghalang mereka mara dari pertahanan untuk menyerang."